Friday, December 24, 2010

Batu Bersurat Terengganu - Bukti Terengganu Mencipta Jawi | باتو برسورت ترڠڬانو - بوقتي ترڠڬانو منچيڤتا جاوي

Batu Bersurat Terengganu di Muzium Negeri Terengganu


Batu Bersurat Terengganu sememangnya masyhur dan dikenali sebagai salah satu tinggalan sejarah yang penting. Namun, batu ini bukanlah semata-mata tinggalan sejarah, malahan ia sebagai bukti bahawa Terengganu merupakan negeri yang pertama melaksanakan undang-undang Islam di Tanah Melayu. Melalui batu ini juga, terbukti bahawa negeri Terengganu mempunyai ketamadunan yang tinggi. 


Berdasarkan Batu Bersurat Terengganu, jelaslah tulisan Jawi yang tertua di Alam Melayu ini ialah di negeri Terengganu sedangkan tulisan yang terdapat di tempat-tempat yang menerima Islam dengan lebih awal seperti Samudera-Pasai (681H / 1282M) masih tertulis dengan tulisan Sanskrit iaitu pada inskripsi di Minye Tujuh walaupun kandungannya berunsurkan Islam.

Maka, nyatalah tulisan Jawi pertama muncul dan berkembang bertitik-tolak dari Batu Bersurat Terengganu. Keadaan ini disebabkan oleh tempat lain di Champa, Samudera-Pasai dan Jawa umpamanya sebelum menerima Islam telah dipengaruhi oleh tulisan Sanskrit dan ini mengambil masa untuk peralihan kepenggunaan tulisan dari Sanskrit kepada Jawi. Manakala, Terengganu yang ketika itu tidak dipengaruhi oleh tulisan Sanskrit telah menerima dan mengembangkan tulisan Jawi dengan pantas serta menjadikan tulisan itu sebagai wadah penyebaran ilmu dan pembinaan tamadun.

Haruslah diingat, bahawa tarikh Batu Bersurat Terengganu bukanlah tarikh sebenar penerimaan Islam di Terengganu. Islam telah diterima oleh masyarakat Terengganu lebih awal dari tarikh Batu Bersurat memandangkan kandungan Batu Bersurat Terengganu yang tidak lagi menyentuh rukun asas Islam dan akidah tetapi menyentuh tentang perlaksanaan hukum syariah.

Menurut kajian Prof. Syed Muhammad Naguib al-Attas, tarikh Batu Bersurat Terengganu adalah pada hari Jumaat, 14 Rejab 702H bersamaan 22 Februari 1303M. Manakala beberapa pengkaji sejarah Tanah Melayu mencadangkan bahawa ketamadunan masyarakat Terengganu berkembang seiring dengan ketibaan agama Islam sehingga dipercayai tulisan Jawi dicipta oleh masyarakat Terengganu.

Abdullah Munsyi pernah menyentuh bahawa masyarakat Terengganu mempunyai kefahaman Bahasa Arab yang tinggi pada zaman beliau sehinggakan kitab-kitab Arab tidak diterjemah ke dalam Bahasa Melayu, kerana Bahasa Arab menjadi bahasa ilmu yang utama mendahului Bahasa Melayu di Terengganu. Maka, tentunya pemahaman tulisan Arab serta keperluan dalam menukarkannya ke dalam Jawi dapat dikuasai dengan mudah oleh masyarakat Terengganu satu ketika dahulu.

Wallahu Alam...

No comments:

Post a Comment