Saturday, November 6, 2010

Tertib Imam dan Makmum | ترتيب إمام دان معموم

  1. Makruh Solat Sunat Ketika Hampir Qamat.
    • Jika imam menyuruh qamatkan solat dan juru qamat belum memulakan qamatnya, atau juka imam tidak menyuruh qamatkan solat, tetapi menurut kebiasaannya waktunya telah tiba untuk mengqamatkan solat, maka makruh bagi makmum mengambil kesempatan untuk solat sunat, menurut pendapat yang kuat. Ini kerana ketika makmum belum selesai solat sunat, kemungkinan solat akan diqamatkan dan makmum tidak sempat bertakbiratul ihram bersama imam.

  2. Tiada Solat Sunat Apabila Solat Sudah Diqamatkan.
    • Apabila solat sudah diqamatkan, maka para makmum janganlah mengerjakan solat sunat atau sujud tilawah.

  3. Peraturan Menyebut Takbiratul Ihram Bagi Imam Dan Makmum.
    • Bagi imam hendaklah mengucapkan takbiratul ihram dengan suara yang lantang, sedangkan bagi makmum hendaklah mengucapkan takbiratul ihram dan takbir-takbir yang lain dengan suara yang perlahan, kecuali ketika menjadi mubaligh, hendaklah dilantangkan suaranya.

  4. Tidak Sah Takbiratul Ihram Serentak Dengan Imam.
    • Apabila makmum bertakbiratul ihram secara serentak dengan imam, nescaya tidak sah solatnya, mengikut pendapat yang sahih, sekiranya bertakbiratul ihram mendahului imam, juga tidak sah, berdasarkan sabda Rasulullah SAW, "Apabila ia bertakbir, hendaklah kamu ikut bertakbir".

  5. Salam Serentak Dengan Imam Menghilangkan Fadhilat Berjemaah.
    • Jika makmum memberi salam serentak dengan imam, hukumnya ada dua pendapat, tetapi pendapat yang sahih antara keduanya ialah perbuatan itu tidak membatalkan solat tetapi menghilangkan fadhilat solat berjemaah kerana menyalahi imam.

  6. Makruh Sujud Serentak Dengan Imam.
    • Jika makmum melakukan rukuk, sujud dan sebagainya dari rukun-rukun fi'li ( فعلى ) serentak dengan imam, maka solatnya tidak batal tetapi perbuatan itu makruh berdasarkan sabda Rasulullah SAW, "Apabila ia rukuk, hendaklah kamu rukuk". "Dan perbuatan itu juga menghilangkan fadhilat berjemaah kerana menyalahi imam". Demikian menurut Al-Imam Al-Rafi' dan Ibnu Al-Raf'ah.

  7. Makmum Wajib Mengikuti Imam.
    • Wajib bagi makmum mengikuti imam dalam segala gerak solatnya tanpa mendahuluinya dan tanpa melakukan gerak serentak dengan gerak solat imamnya, Kebiasaan sahabat-sahabat yang bersolat di belakang Rasulullah SAW, ialah mereka tidak membongkokkan badan untuk turun sujud sehingga mereka melihat Rasulullah SAW turun sujud.

Wallahu Alam.

2 comments:

  1. سماكين ترانچم؟ سمارق جاوي
    http://typophile.com/node/74436

    ReplyDelete
  2. الحمد لله، تريما كاسيه اونتوف معلومة بركناءن جاوي

    ReplyDelete