Monday, October 18, 2010

Sejarah Ringkas Tok Ku Paloh | سجاره ريڠكاس توق كو ڤالوه

Tokku Paloh atau nama sebenar beliau sebenarnya adalah Sayid Abdul Rahman Bin Muhammad Al-Idrus adalah ulama kerohanian yang berkecimpung dalam bidang pentadbiran Terengganu, Beliau hidup dalam zaman pemerintahan lapan sultan bersilih ganti, dan pengaruh beliau paling kuat adalah semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11.



Kedudukan Kampung Paloh dan
Kampung Tok Ku di K. Terengganu
Beliau diberi mandat oleh sultan menjaga kawasan Paloh dan Hulu Terengganu. Beliau juga diterima sebagai penasihat utama dalam urusan istana. Beliau pintar dalam bidang diplomatik dan diberi peluang mewakili sultan berunding dengan British sehinggakan ketika itu, British gagal menjajah Terengganu.

Tokku Paloh terkenal sebagai wali Allah yang mempunyai pelbagai karamah dan sentiasa mendapat bantuan Allah SWT terutamanya semasa mengendalikan urusan rakyat. Tokku Paloh merupakan khalifah Tareqat Naqsyabandiah dan beliau mengamalkan dan mengembangkan Syahadat Tokku iaitu amalan yang disusun oleh ayahnya, Tokku Tuan Besar.

Masjid Tok Ku, Chabang Tiga
Beliau dilahirkan pada tahun 1817 (1236 Hijrah) di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Tokku Paloh merupakan nasab ke-32 daripada Rasulullah SAW di kalangan keluarga Al-Idrus. Nasab sebelah bapa beliau sampai kepada Sayidina Hussein RA, anak Sayidatina Fatimah Az Zahra binti Rasulullah SAW.

Ibu beliau bernama Hajah Aminah merupakan isteri pertnama daripada beberapa orang isteri Tokku Tuan Besar. Semasa pemerintahan Sultan Omar, Tokku Tuan Besar menjadi Syeikhul Ulama iaitu Ketua Ulama Terengganu, dan dianugerahkan gelaran Paduka Raja Indra oleh sultan.

Tokku Tuan Besar juga telah membina sebuah masjid di Kampung Tok Ku, Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan mengarang beberapa buah kitab. Semua adik-beradik Tokku Paloh mempunyai keahlian dalam bidang agama dan diantaranya adalah Syed Zain (Menteri besar semasa pemerintahan Sultan Omar), Syed Ahmad (Bergelar Tuan Ngah Seberang Baroh) dan Syed Mustaffa (Ulama serta ahli Majlis Mesyuarat Negeri; merupakan salah seorang dari empat pembesar yang pernah diwakilkan memegang pemerintahan Terengganu ketika ketiadaan Sultan Zainal Abidin III yang melawat Siam pada 1896).

Tokku Paloh kembali ke rahmatullah pada tahun 1917 dan setahun kemudian, diikuti oleh kemangkatan Sultan Zainal Abidin III. Kemudian, barulah British berjaya menjajah negeri Terengganu ini.

No comments:

Post a Comment